Saturday, May 10, 2014

Dilema Ahli Gerakan Islam : Diantara Wala' dan Waqi'

Dunia hari ini semakin hari semakin jauh dari ruh Islam yang sebenar dan semakin mencabar dalam menyampaikan risalah-risalah Tuhan sama ada melalui lisan, perbuatan ataupun melalui pemerintahan. Bermula daripada era kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniah, maka bermulalah usaha-usaha menyampaikan risalah-risalah tuhan ini melalui gerakan-gerakan islam yang mana dimulakan oleh sebuah gerakan islam yang dipimpin oleh As-Syahid Hassan Al-Banna yang dikenali sebagai Ikhwan Muslimin, berpusat di Mesir dan diasaskan  pada tahun 1928 M. Kesan daripada penubuhan gerakan ini, maka lahirlah gerakan-gerakan islam yang sejalan dengannya seantero dunia termasuklah Malaysia sendiri. Diantara gerakan-gerakan Islam yang dimaksudkan antaranya seperti Parti Islam Semalaysia (PAS), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Ikatan Siswazah Malaysia (ISMA) dan sebagainya. Kesemua gerakan ini mempunyai persamaan yang ketara antaranya ialah menggunakan kaedah Wala' dan Taat sebagai salah satu daripada rukun dalam gerakan mereka.


Apakah yang dimaksudkan dengan wala’? Wala’ membawa beberapa maksud diantaranya ialah penjaga, pemimpin, pelindung dan penyerahan.Wala’ terkandung di dalamnya tiga unsur :

1) Kasih sayang

2) Tolong menolong

3) Persefahaman

Konsep Wala’ yang diamalkan di dalam gerakan-gerakan Islam diatas bermaksud kesetiaan seorang Muslim kepada saudara seagamanya samada sebagai seorang ketua, pimpinan, imam atau kawan. Secara umumnya pengertian wala’ dan taat dalam ruang lingkup Gerakan Islam ialah kepatuhan dan ketaatan kepada pimpinan dalam saf perjuangan Islam.

Apakah pula yang dimaksudkan dengan taat? Taat bermaksud mematuhi segala arahan dan melaksanakannya dalam apa keadaan sekalipun samada susah atau senang berseusaian dengan kehendak atau pun tidak. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasulNya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan, “kami mendengar, dan kami patuh”, Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”. Surah AnNur ayat 51

Ketaatan dan kepatuhan itu hanyalah kepada perkara-perkara kebaikan dan kebajikan yang tidak melanggar syara’ dan bukannya ketaatan yang membuta tuli tanpa pengetahuan dan usul periksa. Sabda Rasulullah saw:

“Dengar dan taat adalah menjadi wajib kepada setiap muslim dalam perkara yang ia suka atau tidak, selagi ia tidak disuruh dengan kemaksiatan, jika disuruh ke arah kemaksiatan maka tidak perlu lagi dengar dan taat” (H.R. Bukhari dan Muslim).

Dengan penjelasan diatas, maka jelaslah para pembaca akan pengertian sebenar wala' dan taat, akan tetapi, konsep ini berkait rapat dengan pemahaman waqi' (suasana) disesebuah tempat atau keadaan semasa. Persoalannya, adakah konsep ini wajib dituruti sekiranya ia bertentangan dengan waqi' walaupun sesuatu arahan, keputusan atau pendapat itu keluar dari mulut Amir , Imam atau seorang ketua tertinggi sesebuah gerakan? atau ianya secara automatik tertolak? atau punya jalan lain bagi mengelakkan dihukum sebagai ahli yang tidak wala'? disini penulis ingin berkongsi beberapa pandangan peribadi penulis sendiri berkenaan hal ini.

Sebagai permulaan, mari sama-sama kita telusuri suatu peristiwa yang berlaku ketika peperangan Badar,

Rasulullah SAW bersabda,

"Majulah ke depan dan yakinlah yang Allah telah menjanjikan kepadaku satu dari keduanya (khafilah dagang atau perang), dan demi Allah, seolah-olah aku telah dapat melihat pasukan musuh terbaring kalah". Pasukan Muslimin bergerak maju dan kemudian berhenti sejenak di tempat yang berdekatan dengan Badar (tempat paling dekat ke Madinah yang berada di utara Mekkah). Seorang sahabat bernama, Al-Hubab bin Munzir r.a, bertanya kepada Rasulullah SAW, " Apakah Allah mewahyukan kepadamu untuk memilih tempat ini atau ianya strategi perang hasil keputusan musyawarah?". Rasulullah SAW bersabda, "Ini adalah hasil strategi perang dan keputusan musyawarah". Maka Al-Hubab telah mengusulkan kembali kepada Rasulullah SAW agar pasukan Muslimin sebaiknya bermarkas lebih ke selatan tempat yang paling dekat dengan sumber air, kemudian membuat kolam persediaan air untuk mereka dan menghancurkan sumber air yang lain sehingga dapat menghalang orang kafir Quraish dari mendapatkan air. Rasulullah SAW menyetujui usulan tersebut dan melaksanakannya.

Peristiwa ini membawa pelbagai pengajaran dan hikmah, akan tetapi, diantara pengajaran yang dapat penulis nukil berdasarkan peristiwa diatas yang dapat dikaitan dengan tajuk perbincangan kita salah satunya adalah, kesesuaian sesuatu keputusan itu sangat berkait rapat dengan waqi' atau keadaan sekitar. Peristiwa Al-Hubab bin Munzir mempersoalkan keputusan Baginda SAW bukanlah bererti beliau ingkar dan tidak wala' akan arahan dan keputusan Nabi yang terhasil daripada musyawarah sedangkan Nabi Muhammad SAW pada ketika itu merupakan ketua tertinggi bagi umat islam, tetapi ketika itu terdapat satu lagi jalan dan strategi yang lebih baik untuk menumpaskan pihak musuh berdasarkan waqi' dan keadaan Badar.

Maka dengan ini, penulis ingin menarik pembaca untuk kembali melihat konteks yang berlaku di Malaysia. Apa yang berlaku di dalam gerakan-gerakan Islam di Malaysia adalah sebaliknya. Sebarang pendapat, keputusan atau kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin atau ketua tertinggi (amir), wajib di ikuti di atas prinsip wala’ tanpa melihat pada kesesuaian waqi’ terlebih dahulu. Adapun jika terdapat sekumpulan minoriti yang cuba untuk mempersoalkan keputusan dan kenyataan ketua-ketua mereka dengan mendatangkan solusi yang lebih baik tanpa berniat untuk mengingkari apatah lagi untuk melanggar prinsip wala’, pastinya golongan ini akan dianggap sebagai ahli yang tidak wala’ dan tidak terkecuali sebahagiannya digelar parasit yang futur dari jalan Jemaah atau gugur daripada jalan sebenar gerakan Islam.

Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku di dalam mana-mana gerakan Islam khususnya di Malaysia. Wala' itu sangatlah diperlukan di dalam sesebuah gerakan, akan tetapi ianya bukanlah menjadi penghalang untuk penilaian, penambahan atau kritikan dibuat atas sesuatu keputusan, bergantung kepada isu dan waqi' semasa. Wala' yang berterusan tanpa sebarang penilaian atau kajian terperinci tentang sesuatu keputusan, atau sesuatu isu, bakal menyebabkan para ahli dan pendokong gerakan islam semakin jauh dari perkembangan semasa, jumud dan menjadi tidak lebih daripada seekor lembu yang dicucuk hidung yang akhirnya akan melahirkan para pendokong yang buta, lemah dan tidak berkualiti apatah lagi mampu untuk meneruskan agenda gerakan Islam.

 “Blind obedience to leadership is not patriotism, it is reinforcing corruption.”  ( Malcom X )

Bangunlah untuk menegur, bangunlah untuk membuat penilaian semula dengan lebih adil dan terperinci. Bangunlah untuk mengenengahkan cadangan dan memberi solusi, agar gerakan yang kita sayangi tidak terus hanyut dalam lena sendiri dan terus menjauh dari hadaf sebenar gerakan Islam.

“If you want to rebel, rebel from inside the system. That's much more powerful than rebelling outside the system.” ( Marie Lu )

Akhir kalam, marilah sama-sama kita hayati petikan ini:

حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ حَدَّثَنَا عَاصِمُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ زَيْدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ أُنَاسٌ لِابْنِ عُمَرَ إِنَّا نَدْخُلُ عَلَى سُلْطَانِنَا فَنَقُولُ لَهُمْ خِلَافَ مَا نَتَكَلَّمُ إِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِهِمْ قَالَ كُنَّا نَعُدُّهَا نِفَاقًا

Ada sekumpulan manusia berkata kepada ibnu Umar,  " kalau kami bertemu dengan para pemimpin kami maka kami pasti mengatakan sesuatu yang sama sekalipun berbeza dengan apa yang kami katakan bila tidak bertemu dengan mereka (pemimpin) ". Ibnu umar berkata,  " hal itu kami anggap sebagai sebuah sikap munafik ".

Wala’ dan waqi’ adalah dua perkara yang berjalan seiringan, tertinggal salah satu diantaranya maka pincang dan tempanglah sesebuah perjuangan itu. Hati yang hanya mengenal wala’ dan meninggalkan aspek waqi’ adalah hati yang buta perjuangan, buta ilmu dan buta pandangan. Marilah sama-sama kita kembali kepada erti kata wala’ yang sebenar dan meninggalkan wala’ buta yang semakin membarah dikalangan kita. Bersama menuju ke arah gerakan Islam yang lebih proaktif, inovatif, kreatif dan kritis.



No comments:

Post a Comment

Pape hal pun, komen kasi molek dan beretika yer. baru molek gituuuu... =)